doa amalan Qidir as dan sulaiman as

Doa Nabi Sulaiman as yang patut diteladani

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, segala pujian dan syukur hanya kepada Allah yang selayaknya menerima pujian. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat dan pengikut setia yang istiqamah hingga ke hari akhirat.
Sebelum ini saya ada menulis beberapa siri tentang Allah as-Syakur dan saya berhenti pada Nikmat yang tidak dapat didustakan. Apa yang dicatat di sini merupakan apa yang saya dengar daripada CD Ustaz Kariman.

Kali ini saya sambung tentang wasilah doa dengan nama Allah as-Syakur iaitu doa Nabi Sulaiman as yang patut diteladani. Doa ini terdapat dalam dua ayat di bawah:

1) Dalam surah Al-Ahqaaf surah ke 46 ayat 15

 قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
"berdoalah ia dengan berkata:  "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al-Ahqaaf [ 46 ] : 15) 
2) Dalam surah Al-Naml surah ke 27 ayat 19

 وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
"dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (An-Naml [27 ] : 19).
Nabi Sulaiman dianugerahi kurniaan yang banyak oleh Allah yakni kerajaan, menguasai jin dan manusia yang menjadi bala tenteranya; serta boleh memahami bahasa unggas dan serangga. Nabi Daud as adalah bapa kepada Nabi Sulaiman, baginda juga mendapat anugerah yang banyak daripada Allah swt.

As-Syakur, terambil daripada kata syakara yang bererti "pujian atas kebaikan" serta "penuhnya sesuatu". Keterangan lain menyebutkan bahawa tumbuh-tumbuhan yang boleh tumbuh walaupun dengan sedikit air, atau binatang yang gemuk walaupun dengan sedikit rumput, dalam bahasa Arab juga disebut syakur. Syakara juga bermaksud menampakkan; lawannya kafara yang bermaksud menutup.

Daripada penggunaan istilah ini, maka kata syakur yang menjadi nama dan sifat Allah bererti, "Dia mengembangkan atau memperbanyak balasan yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya, meskipun amalan hambaNya sedikit". Oleh sebab itu, tidak hairan apabila Allah SWT selalu melipatgandakan ganjaran bagi amalan-amalan yang dilakukan oleh hamba-Nya.

As-Syakur yakni nama Allah yang ke 35 diulang sebanyak 10 kali. As-Syakur bermaksud Allah Maha menampakkan, berterima kasih, Allah akan memberikan balasan yang banyak bagi amalan hambaNya yang sedikit, Yang Maha menerima syukur, Maha membalas walaupun menerima balasan yang sangat kecil. Contohnya ahli sihir Firaun yang hanya beriman dalam masa beberapa jam sahaja Allah balas syurga buat mereka. Walaubagaimanapun kita kena ingat bahawa Allah hanya menggunakan sifat as-Syakur terhadap hambanya bila hambanya bersyukur.


Tidak mudah untuk melakukannya sebagaimana yang Allah kehendaki. Nabi Muhammad SAW yang paling mulia dan  faham bagaimana nak mensyukuri nikmat Allah, itupun  baginda sentiasa berdoa "Allahumma a'inni 'ala Zikrika washuyrika wahusni 'ibadatik. (Ya Allah bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan memperbaiki 'ibadatku kepadaMu). Nabi benar-benar sedar betapa tidak mudah mengingati, mensyukuri dan membaiki ibadah tanpa pertolongan Allah. Jika Nabi yang paling mulia dan faham itupun menyedari betapa lemahnya baginda tanpa bantuan Allah apatah lagi kita sebab syukur dalam erti kata yang sebenarnya memang sukar untuk dilaksanakan namun Allah tidak menuntut banyak lebih daripada kemampuan kita. Itu doa nabi Muhammad SAW, manakala doa Nabi Sulaiman as telah ditulis di atas tadi.

Kenapa para nabi pilihan ini pun masih memohon kepada Allah? Jawapannya Allah nak bagi tahu supaya kita sedar betapa tidak mudah melaksanakan perintah bersyukur yang sebenar.

Mari lihat makna  أَوْزِعْنِي dalam doa nabi Sulaiman ini, kita lihat juga makna  هَبْ لِي  hab li dan 'aati' (boleh agaknya anda cari ayat yang ada kalimah 'aati' ni contoh rabbana aatina) juga bermaksud anugerahilah atau kurniakanlah namun Kalimat 'AUZI'NI daripada kata dasar (auza' auzi' tauzi') adalah seperi yang dihuraikan di bawah.

Kalimat 'AUZI'NI dalam ayat itu bermaksud 'distribution' atau 'pengagihan' yakni boleh difahami bahawa Nabi Sulaiman as berdoa dengan berkata; "Wahai Tuhanku, berilah aku ilham supaya aku dapat mengagihkan kekayaan atau nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku dengan baik". Maksudnya jika 'nikmat' itu berupa harta kekayaan, mudah-mudahan baginda dapat kongsikan dengan orang-orang yang memerlukan, jika baginda sihat dapatlah digunakan untuk melakukan amal soleh, begitu juga jika 'nikmat' itu berupa masa yang dikurniakan oleh Allah SWT dapatlah digunakan dengan melakukan amal ibadat yang sempurna yakni tidak membuang masa kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Oleh itu sebagai ucapan rasa syukurnya Nabi Sulaiman as berdoa supaya Allah memberi ilham kepadanya; supaya menjadi hamba Allah yang tahu bersyukur.

Seolah-olah Nabi Sulaiman berkata, "wahai Tuhanku! Berilah aku kemampuan sehingga aku dapat mendistribusikan (mengagih-agihkan) nikmat yang engkau berikan kepadaku sebagaimana yang  Engkau kehendaki".

Kesimpulannya jika kita sudah boleh mengagih-agihkan nikmat Allah sebagaimana yang Allah kehendaki maknanya kita dah bersyukur.

Nikmat Allah kepada kita terlalu banyak. Allah kata kita tidak berupaya mengira atau menghitungnya. Kita diberi nikmat waktu sehari semalam 24jam, kita disuruh agih-agihkan
Untuk diri sendiri sekian %
Untuk orang lain sekian %
Untuk keluarga sekian %
Untuk menghilangkan kebodohan sekian %
Untuk memajukan yang mundur sekian %
Untuk meluruskan yang bengkok sekian %
Untuk rehat sekian %
Kadang-kadang perkara yang perlu peruntukan kecil kita beri besar. Manakala yang besar kita bagi kecil, itu dah tak syukur namanya.
Harta juga nikmat. Allah kata agih-agihkanlah sesuai dengan apa yang dikehendaki Allah. Apa sajalah yang perlu kita bagi besar kita bagi besar,  mana yang perlu sedikit kita bagi sedikit. Jika kita buat mengikut yang sebenar seperti yang Allah kehendaki barulah dinamakan kita bersyukur. Ini tidak mudah, sebab itulah Nabi Sulaiman as dan Nabi Muhammad SAW pun berdoa.
Jika kita gunakan untuk mencari akhirat 1%, mencuci mata 50%, ikut hawa nafsu 49%; ini tak betul, ini namanya tak bersyukur.
Jika kita tunaikan tanggungjawab kepada keluarga 5%, rehat 26%, berbisik dengan kekasih yang menciptanya 0.5 % dan selebihnya membuat perkara-perkara yang tak berfaedah, rugilah dan seharusnya bersedihlah!.
Jika masa makan lebih lama daripada masa bercakap dengan Allah (contoh di meja makan ambil beberapa jam sedangkan berbisik dengan Allah 5 minit).. ini dah tak tauzi'. Betul! Ini tidak mudah, Nabi Sulaiman Allah beri anugerah lebih daripada orang lain punmerasa tak mampu jika Allah tak bantu dia tetapi lihat; baginda mohon auzi' daripada Allah SWT.
Bukan juga tauzi' jika  untuk baca dan mengkaji al-Quran kita peruntukkan 10 - 15 minit kemudian kita duduk baca surat khabar 2 jam.
Kita pula selalu minta luaskan rezeki, minta Allah berikan kesihatan yang baik, dan pelbagai lagi; tak salah minta tambahan rezeki tetapi jangan lupa baca doa seperti dalam ayat ini, rugi jika kita tak buat begitu.
Nikmat adalah untuk digunakan melakukan amalan soleh yang Allah redha, Jadi bila setiap nikmat yang Allah beri; apa saja kita guna dengan betul agihannya itulah syukur. Bagaimana ya! jika lebih masa kita guna untuk berseronok, dan kereta juga digunakan untuk pergi berseronok.
Pada satu ketika ustaz ditanya; Apakah ibadah yang paling baik dalam agama? Ustaz memberikan jawapan bahawa ibadah yang paling baik dalam agama mengikut yang tertulis dalam buku Dr Yusuf al-Qaradhawi; ada pelbagai pendapat. Ada yang kata yang paling susah dilakukan (diukur sama ada susah atau senang masa melakukannya); maksudnya lagi susah amalan tu lagi banyak ganjaran tetapi ada yang terima namun ramai juga yang tak bersetuju.
Pendapat Ustaz ni pula; yang paling adil ialah tengok keadaan, tempat dan masa dilakukan, contoh semasa mendengar azan jangan pula baca al-Quran. Bila khatib berkhutbah Jumaat hendaklah dengar (bagi jemaah lelaki bersolat Jumaat). Memberi sedekah bila ramai yang susah/kebuluran (tengok keadaan). Ibadah yang paling utama bagi orang berilmu sampaikan ilmunya; orang berwang sedekahnya begitulah seterusnya. Tidak mudah sebenarnya.
Dikatakan susah sebab Allah pun dah bagi tahu "Dan sangat sedikit sekali hambaKu yang bersyukur".
Saya mengingatkan diri ini dan semua pembaca agar sentiasa berdoa sebagaimana doa Nabi Sulaiman as ini supaya kita juga diberi kelapangan untuk menggunakan nikmat yang Allah berikan kepada kita dan menjadikan kita orang-orang yang BERSYUKUR. Semoga dengan itu dapatlah kelak kita diterima ke dalam golongan orang-orang soleh terdahulu iaitu para nabi dan para rasul yang terpilih dan juga orang-orang yang berbuat baik dan meningglkan segala larangan Allah swt. KepadaNya juga diserahkan segala urusan.
doa amalan Qidir as dan sulaiman as Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Bernard

Posting Komentar